Sunday, July 13, 2008

Saya Mesti Hidup Untuk Islam


Pengakuan beragama Islam bererti saya mesti hidup berdasarkan Islam, baik dari segi keyakinan, ibadah mahupun akhlak. Kalau saya mengaku sebagai seorang muslim ertinya diri saya, rumah-tangga saya dan ahli keluarga saya mestilah menghayati Islam. Pengakuan itu memaksa saya wajib hidup untuk memperjuangkannya. Seluruh jiwa raga dan kemampuan saya harus diarahkan untuk memperkuatkan agama dan meluaskan pengaruhnya.

Dalam dunia ini ada tiga kategori manusia:

i. Golongan Yang Hidup Untuk Dunia Sahaja.

Golongan ini ialah golongan kebendaan (materialis), samada berdasarkan falsafah mahupun golongan "Dahriyyin". Pandangan Dahriyyin ini dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana berikut:

وَقَالُوا إِنْ هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا وَمَا نَحْنُ بِمَبْعُوثِينَ

Yang bermaksud:

Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.

(Surah Al-An'aam, Ayat: 29).

Allah berfirman:

وَقَالُوا مَا هِيَ إِلَّا حَيَاتُنَا الدُّنْيَا نَمُوتُ وَنَحْيَا وَمَا يُهْلِكُنَا إِلَّا الدَّهْرُ وَمَا لَهُمْ بِذَلِكَ مِنْ عِلْمٍ إِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Yang bermaksud:

Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

(Surah Al-Jaathiyah, Ayat: 24).

Orang-orang komunis dan rakan-rakan mereka dari golongan sekular atau penganut fahaman existensialism juga beranggapan sedemikian. Dalam satu ulasan yang ditulis oleh Joseph Stalin terhadap pendapat seorang ahli falsafah yang mengatakan: "Alam ini tidak dicipta oleh mana-mana Tuhan atau insan. Ia terjadi dengan sendirinya dan akan kekal berterusan sebagaimana adanya. Ia merupakan obor kehidupan yang terus menyala dan akan padam berdasarkan hukum-hakam yang tertentu". Lenin menyatakan: "Ini adalah satu analisis yang indah terhadap dialektik materialism".

Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku malah seluruh cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang fana ini. Ilmunya pun sekadar itu juga.

ii. Golongan Yang Sesat Antara Dunia dan Akhirat.

Mereka ini adalah terdiri dari golongan minoriti, akidah mereka bersimpang siur dan usaha mereka di dunia ini adalah usaha yang sia-sia, tanpa berkat dan restu Allah. Namun mereka menyangka yang mereka telah berbuat baik.

Orang ini walaupun percaya pada Allah dan hari Akhirat, namun akidah mereka tidak lebih dari gambaran palsu yang terpisah dan terputus dari realiti kehidupan.

Mereka ini pada hakikatnya termasuk dalam golongan yang menganut fahaman kebendaan sekalipun pada zahirnya mereka melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian. Tepatlah seperti yang dikatakan oleh penyair di dalam sepotong syairnya:

Kita tempungkan kecacatan dunia kita,

Dengan mengoyakkan agama kita,

Akhirnya rosak kedua-duanya,

Baik dunia mahupun agama,

Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalahnya yang bertajuk "Fi Ayyi Nad'un Nas (Ke mana kita ingin menyeru manusia)" menyatakan: "Sebenarnya Al-Quran telah menentukan matlamat kehidupan dan tujuan-tujuan kehidupan manusia ..." Ia menerangkan segolongan manusia yang hidup mereka adalah untuk makan minum dan menikmati kelazatan dunia. Firman Allah:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا يَتَمَتَّعُونَ وَيَأْكُلُونَ كَمَا تَأْكُلُ الْأَنْعَامُ وَالنَّارُ مَثْوًى لَهُمْ

Yang bermaksud:

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang Nerakalah menjadi tempat tinggal mereka. (Surah Muhammad, Ayat: 12).

Al-Quran menerangkan adanya segolongan manusia yang tujuan hidup mereka adalah untuk menikmati perhiasan dan bersenang-senang dengan kemewahan, dalam firman Allah:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنْطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالْأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الْمَآبِ

Yang bermaksud:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (Surah Aali Imran, Ayat: 14).

Al-Quran juga menerangkan gelagat segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan, dalam sebuah firman Allah:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَى مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ. وَإِذَا تَوَلَّى سَعَى فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ

Yang bermaksud:

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (Surah Al-Baqarah, Ayat: 204 - 205).

Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah s.w.t telah membersihkan orang-orang mukmin daru tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia. Tanggungjawab tersebut ialah menunjukkan kebenaran Islam kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya Islam.

iii. Golongan Yang Menganggap Dunia ini Adalah Ladang Tanaman Untuk Di Akhirat.

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat kerana firman Allah s.w.t:

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Yang bermaksud:

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Surah Al-An'aam, Ayat: 32).

Ekoran dari rendahnya nilai dunia jika dibandingkan dengan akhirat maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan oleh Allah.

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Yang bermaksud:

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Surah Az-Zariyaat, Ayat: 56).

Orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Seluruh hidup mereka baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran mereka semuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah. Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginan syahwat.

Kenyataan ini telah dibuktikan dengan sebahagian besar ciptaan-ciptaan (kemajuan) zaman moden ini dan kebanyakan hasil perahan daya fikiran manusia bertujuan untuk menyogokkan kepada manusia kelazatan dan kerehatan jasmaninya bukan bertujuan untuk membangunkan alam sejagat ini dengan nilai-nilai kebaikan, kedamaian dan ketenangan. Kemajuan alat-alat rekaan baru seperti kereta, pesawat, kapal terbang, mesin basuh, peti sejuk, alat-alat solek, perabut rumah, pakaian, alat-alat hiburanmalahan ribuan ciptaan yang dioleh kilang perusahaan yang moden dan canggih pada hari ini, semuanya bertujuan memberikan kerehatan, keselesaan kepada hidup manusia.

Dalam konteks ini walaupun Islam sama sekali tidak melarang mengkaji (menyelidik), mencipta dan menghasilkan sesuatu, namun ia haruslah dilakukan dengan syarat:

1. Dengan kadar yang tidak membawa manusia kepada kemudaratan atau bahaya.

2. Dalam bentuk yang boleh mendatangkan kebaikan dan kebajikan dalam masyarakat. Ertinya, kerja-kerja tersebut hendaklah diperhatikan dari segi penyesuaiannya dengan syarak dan akhlak.

Dalam hubungan ini Imam Hasan Al-Banna di dalam risalah, "Ke Mana Kita Menyeru Manusia" mengatakan: "Demi Tuhanmu, wahai saudara yang dimuliakan; adakah umat Islam memahami pengertian ini (dari Kitab Allah) yang menyebabkan jiwa mereka akan menjadi tinggi, semangat mereka akan meningkat malah mereka akan bebas dari belenggu kebendaan. Mereka akan terhindar dari godaan syahwat dan keinginan nafsu serta menjauhi perkara-perkara yang sia-sia dan tujuan-tujuan yang penuh kehinaan. Dengan kefahaman ini mereka dapat meluruskan tujuan dan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, ikhlas mempertahankan kalimah Allah, berjihad pada jalan-Nya, menyebarkan agama-Nya dan mempertahankan syariat-Nya atau sebaliknya mereka ditawan oleh syahwat dan menjadi hamba kepada kerakusan nafsu serakah. Seluruh impian mereka hanyalah untuk mengisi uncang perut mereka dengan makanan yang lazat, kenderaan yang cantik, tidur yang nyenyak dan gelaran-gelaran yang kosong".

Seorang penyair menyatakan:

Mereka bersenang-senang dengan angan-angan khayalan,

Sedangkan segala pemberian adalah ujian,

Mereka mendakwa telah mengharungi lautan dengan,

Sesungguhnya mereka belumpun bertemu ujian,

Sesungguhnya benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang menyebut:

Yang bermaksud:

Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba abdi diram. Celakalah (orang yang) menjadi hamba abdi kepada pakaian".

(Hadis riwayat Imam Bukhari).

No comments: